Oleh : unclebourne

Panduan Ikhtiar Hidup ini akan diterbitkan secara bersiri dan eksklusif dari saya hasil pengalaman saya bertugas selama 8 tahun dengan sebuah kem latihan membina semangat dan merupakan pusat latihan ikhtiar hidup yang pertama seumpamanya dimilik oleh KPYPJ (yang pertama di Johor selain dari yang dimiliki oleh tentera)
1. PENGENALAN
Ikhtiar hidup atau survival adalah segala yang berkaitan untuk meneruskan hidup apabila keadaan sekeliling yang boleh menyebabkan anda mati. Latihan Ikhtiar Hidup merupakan subjek yang utama dan sangat digemari di Pusat Membina Semangat YPJ Kem Sekakap Mersing. Nota ini adalah sebagai panduan ringkas Ikhtiar Hidup kepada semua peserta kursus di Kem Sekakap ini.
Tiada siapa yang benar- benar bersedia sepenuhnya untuk menghadapi situasi ikhtiar hidup. Adalah penting untuk memahami saikologi ikhtiar hidup begitu juga dengan teknik- tekniknya dan mati adalah bukan satu pilihan dalam ikhtiar hidup.
1.1. Istilah Ikhtiar Hidup
Mengikut Kamus Oxford; ikhtiar hidup atau survival boleh didefinisi sebagai keadaan untuk terus hidup. Ia juga boleh diertikan sebagai the will to live, to outlive, the will to survive, state of continuing to live dan keupayaan atau keadaan sesuatu itu untuk terus hidup.
Menurut buku Teknik Ikhtiar Hidup oleh Mejar (B) Mohd Yusof Abdullah; ikhtiar hidup boleh diertikan sebagai usaha atau ikhtiar yang harus dilakukan oleh seseorang itu supaya dia terus hidup ketika menghadapi sesuatu ancaman.
Menurut Wikipedia; Survival Skills adalah kemahiran yang dapat membantu seseorang mengharungi keadaan merbahaya (seperti ribut petir atau gempa bumi); atau dalam kawasan merbahaya (seperti di gurun, kawasan pergunungan dan di dalam hutan rimba).
Kita seharusnya bersikap selalu mengingatkan diri bahawa ikhtiar hidup itu adalah melakukan sesuatu yang perlu dilakukan untuk meneruskan hidup dan mati itu bukanlah satu pilihan.
1.2. Situasi
Situasi yang mungkin berlaku ketika melakukan kegiatan luar adalah seperti kehabisan bekalan makanan dan minuman, ancaman hidupan liar, masalah perlindungan dan sebagainya. Cara mengatasinya adalah dengan melakukan perancangan atau persediaan dari segi mental, fizikal, teknikal dan material. Di dalam situasi ikhtiar hidup berfikir secara bijak bermakna anda membuat keputusan yang tepat dan jangan berputus asa.
1.3. Kepentingan
Pengetahuan dan kemahiran dalam ikhtiar hidup merupakan satu perkara terpenting yang harus diketahui oleh individu yang melibatkan diri dalam kegiatan luar atau anggota pasukan pencari dan penyelamat. Ini disebabkan mereka ini terdedah kepada pelbagai cabaran dan risiko yang tidak menentu.
(bersambung...)